Thursday, 28 August 2014

SURAT UNTUK AYAH



Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang
Assalamualaikum

Hari ini genap usianya 70 tahun. 29 ogos 1944 sehingga 29 ogos 2014, Allah meminjamkan kepada aku seorang ayah yang berhati mulia  buat kami sekeluarga sehingga usianya sudah mencecah 70 tahun. Jika diambil umur nabi sebagai pengukur umur umat akhir zaman iaitu Nabi wafat pada umur 63 tahun, Allah sudah lebihkan 7 tahun untuk ayah masih bersama-sama kami. Syukur ya Allah, mungkin di saat ini ada orang yang sudah tiada ayah, tapi ketahuilah kalian juga tetap pernah punya ayah. Jika mereka sudah di alam sana, berjanjilah pada diri untuk jadi anak yang sentiasa mengirimkan pahala buatnya. Buat yang masih punya ayah, alangkah beruntungnya kita. Mereka di depan mata kita untuk disayangi, untuk dihormati, untuk dikasihi..

Tidaklah kami merancang apa-apa sambutan yang istimewa sempena hari lahirmu ini ayah. Namun kau tetap teristimewa di hati kami. Ayah, terlalu banyak perkara yang telah menyinggung hati dan perasaan mu sepanjang membesarkan aku. Biarpun surat ini tidak dapat kau baca, biarlah aku tulis juga buat tatapan seantero dunia betapa aku beruntung punya ayah seperti kamu…..

xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx

Ayah, 

Kelahiranku kau sambut dengan iqamat yg merdu. Meski aku langsung tidak mengerti apa bacaan yang kau bisikkan ditelinga ku itu, tapi aku tahu aku lahir dalam sebuah keluarga yang bahagia. Aku fikir aku anak tunggal kesayangan ayah dan emak, rupanya aku berbagi kasih dan sayang bersama-sama lagi 10 kakak dan abang di atas aku.. Saat aku lahir ke dunia ini, usia mu sudah menginjak 40 an. Meski aku lupa bagaimana zaman bayi dan kanak-kanakku, tapi aku tahu betapa jerih dan payah ayah membesarkan aku.

Duhai ayah,

Tidakkah ayah ingat, akulah anak yang paling malas dan takut ke sekolah tadika. Biarpun di sua baju baru, dijanjikan itu dan ini, mendukung aku duduk di belakang tempat duduk basikal tuamu, aku menangis sekuat hati mahu pulang juga mengikutmu semula. Lalu diheretlah basikal tua itu kembali, menuruni tanah merah yang belum berturap balik semula ke rumah. Apalah perasaan mu ketika itu ayah?. Yang aku ingat, aku tersengih-sengih duduk di tempat duduk basikal sambil menggigit karipap pemberian cikgu di tadika sebagai umpan memujuk aku. Tidaklah aku peduli, betapa kau menginginkan aku seperti anak-anak yang lain, belajar A,B dan C mengira 1,2 dan 3… tidak ayah, aku tidak mahu ke sekolah..aku mahu tinggal di rumah sahaja bersama kalian….

Masa yang kian pantas berlalu. Alhamdulillah, mahu juga aku ke sekolah, kerana aku kini sudah di sekolah rendah. Masa itu baru ku tahu, alangkah nikmatnya ke sekolah. Cuma satu yang aku tidak suka dan barangkali malu, hampir setiap pagi aku dan kakak-kakakku lewat hadir ke sekolah. Kerana apa? Kerana motor tua cabukmu yang selalu rosak dan perlu ditolak beramai-ramai sebelum ia hidup utk menghantar kami ke sekolah. Ayah, kalaulah kau dapat baca air mukaku pada masa itu, betapa aku marah dengan moto tuamu itu. Mahu saja aku berkata, “campak sajalah ke sungai ayah”. Walhal moto itulah yang berjasa sehingga aku tamat sekolah rendah. Meskipun begitu kau tetap gigih menghantar kami, ayah. Lewat tengahari kau ambil kami dari sekolah pula, memujukmu untuk singgah di kedai ABC, sampai di rumah, menukar baju cepat-cepat mengajakmu mandi di sungai pula. Biarlah matahari sejengkal pun dari kepala, kau turutkan jua. Menggendong kami, mengajar aku dan adik berenang sehinggalah kami pandai berenang dan tidak lagi mengajakmu mandi bersama-sama. Kononnya sudah punya kawan-kawan sekepala, aku tidak lagi ke sungai bersama-samamu ayah….

Awal kemasukan ke sekolah menengah, terlihat betapa besar jasa dan pengorbananmu ayah. Biarpun kau tidak punya ijazah yang tinggi, tapi visimu jelas untuk melihat kami adik beradik semua berjaya. Ayah, aku tidak mahu ke sekolah yang engkau pilih, yang engkau usahakan itu, kerana ia terlalu jauh dari rumah kita. Di situ pula lebih ramai orang berada dari orang seperti kita. Aku tak mahu ayah. Apalah malang nasibmu ayah, dapat anak seperti aku. Sudah dihantar ke sekolah yang baik, setiap hari meronta mahu pulang. Masih aku ingat, setiap hari jam 6.30 petang, kau akan pergi ke rumah jiran terdekat untuk menunnggu panggilan telefon dari aku dek kerana rumah kita tiada telefon rumah pada masa itu, jauh sekali “telefon tangan”..! Panggilan itu tidak lain dan tidak bukan memaksa mu datang mengambil aku untuk dibawa pulang ke rumah. Aku tidak mahu sekolah ayah. Biarlah aku di sekolah biasa pun asalkan dekat dengan mu dan emak. Beberapa hari selepas itu, Ayah datang…. Akhirnya ayah datang….Datang dengan terpaksa meminjam kereta bapa saudara aku. Aku kira ayah datang untuk membawa aku pulang selama-lamanya. Tapi ayah tak ke pejabat pun. Ayah cuma menunggu di kantin.  Emak juga tiada bersama, yang ada cuma bekal kiriman emak, “nasi himpit dan kuah kacang” untuk  makan di asrama, atau mungkin buat pujuk aku supaya jangan balik, teruslah bersekolah di sini. Ya itulah yang berlaku. Dengan linangan air mata, aku kembali ke kelas dengan perasaan yang bercampur baur, mungkin masa itu aku masih tidak tahu apa ertinya sabar dan redha, nasihat ayah "teruslah bersekolah di sini"…….. Allahuakbar, betapa saat menulis perenggan ini berkaca-kaca mata ini mengingatkannya kembali… maafkanlah aku ayah……..

Masa berjalan, berlari dan bergerak pantas. Semakin menginjak dewasa, baru aku memahami kenapa ayah bersungguh mahu aku bersekolah di situ. Biarlah dia susah mencari duit untuk memberi belanja kepadaku, biarlah dia susah menunggang moto dari kampung ganchong ke terminal Kuantan menghantar anaknya ini menaiki bas pulang ke sekolah setiap bulan, asalkan anaknya terus bersekolah di situ. Masih aku ingat, perjalanan dari kampung ke terminal Kuantan, kami akan melalui satu kawasan pantai. Biasanya kami bertolak awal, setengah jam di atas moto sudah cukup menjadikan punggung aku kebas, lalu ayah memberhentikan motonya di pantai, membawa aku menghirup udara di situ... Ada sekali hujan turun lebat, kami tiada baju hujan, berteduhlah di masjid berhampiran sementara menunggu hujan berhenti. Sambil memeluk tubuh, ayah memujukku lembut “sekejap lagi redalah ni…” Ohhhhh ayah, betapa semua itu buat aku rindu pada kenangan lalu.. Menyambung semula perjalanan, menepuk-nepuk aku di belakang ketika berhenti di lampu isyarat takut-takut aku tertidur………..
ya Allah, nikmat mana lagi yang hendak aku dustakan bilamana aku punya ayah seperti ayah……




Tetapi ayah, 

Setelah aku dewasa dan aku punya kerjaya, aku lupa siapa dan bagaimana “ayah” kepada aku dahulu. Walhal dulu ayahlah hero, ayahlah penyelam dasar sungai kami, ayahlah tempat bermanja, ayahlah tempat meminta itu dan ini. Aku kian lupa apa yang ayah sudah berkorban demi aku sehingga aku di posisi sekarang. Aku mengejar harta siang dan malam, dengan niat untuk membantu ayah dan emak, meninggalkan kampung halaman berhijrah seketika ke kota besar. Saban hari, saban minggu ayah bertanya ke mana pergi. Balik sekejap, esok sudah pulang.. Sembang ayah dan emak sebelum tidur sentiasa berkisar tentang anak itu, anak ini termasuklah aku.. emak kehabisan idea, mahu “backup” si anak bila ayah bertanya, ke mana pergi……. Setahun, dua tahun, tiga tahun, aku kira doa ayah dan emak yang makbul, bukan doa aku. Bertahun lamanya aku muncul dan pergi di pintu rumah mereka, akhirnya aku kembali semula ke pangkuan kalian sebagai “anak kecilmu” 27 tahun yang lalu..

Maafkanlah aku ayah, maafkanlah aku emak. Biarpun leteran kalian tidak mampu aku terima dengan hati yang terbuka, tapi itulah yang buat aku rindu, itulah yang buat aku benar-benar dewasa. Kalianlah yang telah mendidik aku dengan baik, tiada cacat celanya, melainkan aku sendirilah yang hanyut dengan dunia yang penuh pura-pura ini. Duhai ayah, duhai emak, terimalah aku sebagai anak yang kalian kandungkan, susukan, besarkan, mandikan, manjakan, dan mungkin yang pernah mebuat hati tua mu luka. Redhakanlah aku wahai emak dan ayah, berkatilah setiap pengorbananmu selama ini. Aku anak yang banyak membuat hati tua mu risau, hati tuamu bersedih, hati tuamu tak keruan tidur malamnya……..

Terimalah aku, redhailah aku dan ampunkanlah segala dosa dan perbuatan kasarku kepada mu wahai ayah, wahai emak….


Selamat hari lahir ayah, semoga syurga Allah yang paling tinggi darjatnya buat kamu, ayah dan emak……….



Salam sayang, 

Azie Junid
(hamba Allah, bukan siapa-siapa)


No comments:

Post a Comment